fb fb fb fb fb

Namo rampas kedudukan pendahulu di Templer Park CC

Pendahulu pusingan kedua Golf Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Malaysia ke-39 Namo Luangnitikul dari Thailand

RAWANG, 30 Julai - Namo Luangnitikul dari Thailand tampil cemerlang untuk merampas kedudukan pendahulu pusingan kedua Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Malaysia ke-39 di Templer Park Country Club pada Rabu.

Remaja berusia 16 tahun dari Phuket itu menghasilkan tujuh birdie dalam pusingan 66 pukulan, sekali gus meninggalkan pencabar terdekatnya dengan kelebihan lima pukulan dan catatan keseluruhan enam di bawah par.

Pendahulu pusingan pertama, Zi Yu, terpaksa akur apabila menamatkan permainan dengan dua bogey berturut-turut di lubang ke-17 dan ke-18. Dia mencatat par 72 dan kini berada di tempat kedua dengan satu di bawah par.

Seorang lagi pemain Thailand, Kanyarak Pongpithanon, menduduki tempat ketiga dengan catatan par selepas menutup dua pusingan berturut-turut dengan 72 pukulan. Pemain Malaysia, Wang Xin Yao pula ketinggalan satu pukulan selepas turut mencatat 72.

Namo memulakan permainan dengan cemerlang apabila merekodkan tiga birdie dan satu bogey untuk menutup sembilan lubang pertama dengan 34 pukulan. Dia menambah satu lagi birdie di lubang ke-10 sebelum menghangatkan permainan dengan tiga birdie tambahan dalam lima lubang terakhir untuk menjauhkan diri daripada pencabar lain.

“Saya agak terkejut dengan prestasi hari ini. Saya tidak banyak memukul green pada sembilan lubang pertama, tetapi saya menemui rentak dengan pukulan approach selepas itu dan berjaya menjaringkan beberapa putt penting. Saya gembira dengan prestasi putting saya di sembilan lubang terakhir dan harap dapat mengekalkannya esok,” kata Namo.

Dengan tiga kali muncul naib juara di Kejohanan Jemputan ANNIKA, Terbuka Amatur Wanita Thailand dan Terbuka Amatur Vietnam dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Namo berharap dapat menamatkan kemarau kemenangan dan merangkul kejuaraan amatur serantau.

“Permainan saya semakin baik kebelakangan ini dan saya hampir menang dalam beberapa kejohanan. Saya rasa yakin dengan permainan saya dan akan cuba beri yang terbaik esok,” tambahnya.

Zi Yu pula sedar dia perlu bekerja keras jika mahu meneruskan rentak kemenangan Malaysia dalam kejohanan ini.

“Hari ini sukar. Pukulan saya baik tetapi ada beberapa lubang yang kalau putt masuk, keputusan pasti berbeza. Saya tahu ini bukan penamat yang saya mahukan, tapi dalam golf apa sahaja boleh berlaku. Saya akan beri tumpuan pada pusingan akhir esok dan cuba bangkit semula,” kata pelajar tahun kedua Universiti Nevada, Las Vegas itu.

Kejohanan anjuran Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) edisi ke-39 ini menyaksikan penyertaan 80 pemain dari lapan negara ASEAN serta tujuh lagi negara Asia-Pasifik.

Dengan penarafan C dalam Ranking Golf Amatur Dunia (WAGR) oleh R&A, kejohanan ini diiktiraf sebagai kejohanan golf amatur wanita tertinggi di Malaysia.

Bersempena Pengerusi ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025, Kementerian Belia & Sukan Malaysia (KBS) melalui Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) berbangga dapat bekerjasama dengan MALGA dalam penganjuran bersama kejohanan tahun ini, selaras dengan komitmen Malaysia untuk memperkukuh integrasi dan perpaduan serantau melalui sukan.

Pada terasnya, kejohanan ini bertujuan menyemai semangat kesukanan, perpaduan dan persefahaman, iaitu nilai-nilai penting dalam kerjasama ASEAN.

Templer Park Country Club telah lama menyokong golf amatur di negara ini dan menjadikan tahun ketiga dan terakhir sebagai penaja utama serta tuan rumah kejohanan ini.

AZRUL FAIZAL JUSOH