fb fb fb fb fb

Wai Ching pecah rekod dunia

Wai Ching memecahkan rekod dunia menerusi cabaran panjat mesin tangga

PETALING JAYA, 19 Julai - Jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching, mencatat sejarah baharu apabila memecahkan rekod dunia menerusi cabaran panjat mesin tangga selama satu jam yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Wai Ching mencatat jarak mendaki sejauh 1.78 kilometer iaitu jarak simulasi tertinggi dicapai di atas mesin tangga dalam tempoh satu jam sekali gus mengatasi rekod terdahulu iaitu 1.74 kilometer yang dilakukan oleh David Mahoney dari Britain pada Mei lalu.

1909 SKN WAI CHING REKOD DUNIA 3Wai Ching berjaya mencatat jarak mendaki sejauh 1.78 kilometer dalam tempoh 1 jam

Dalam aksi yang menuntut ketahanan fizikal dan kekuatan mental, Wai Ching melengkapkan cabaran tersebut tanpa memegang pemegang mesin sepanjang masa.

“Saya tak pegang ‘rail’. Itu prinsip saya. Walaupun dibenarkan, bagi saya pegang ‘rail’ seperti menipu,” katanya.

Selain mencipta rekod dunia, Wai Ching turut menerima empat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaiannya hari ini.

1909 SKN WAI CHING REKOD DUNIA 2Wai Ching turut menerima empat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records

Beliau mencatat masa terpantas mendaki ketinggian setara Menara Berkembar Petronas (451.9 meter) dalam 14 minit 46 saat, "berlari" melintasi mercu tanda maya seperti Merdeka 118 (680.5 meter) dalam 22 minit 18 saat, dan menyelesaikan pendakian setinggi satu kilometer menegak dalam masa 33 minit 11 saat.

Mengulas mengenai cabaran tersebut, Wai Ching mengakui ia amat bermakna secara peribadi buat dirinya.

“Selepas jadi juara dunia, saya hilang arah. Saya hilang semangat untuk terus kejar kecemerlangan. Pernah terfikir nak bersara. Tapi cubaan rekod dunia ini tentang mencabar batas keupayaan manusia. Saya nak tengok sejauh mana saya boleh pergi,” katanya.

Ketika baki lapan minit sebelum tamat cabaran, beliau berdepan kekejangan otot yang teruk.

“Saya jerit banyak kali. Rasa nak berhenti. Tapi saya teruskan juga, percaya boleh, dan paksa diri sampai habis,” jelasnya.

Wai Ching kini bersedia menghadapi dua lagi cabaran utama tahun ini Kuantan 188 Towerton di Menara Kuantan pada Sabtu depan serta Merdeka 118 Sky Race bagi Kejohanan Asia Oceania pada Ogos nanti.

1909 SKN WAI CHING REKOD DUNIA 4Wai Ching dan Valerie melaksana cabaran panjat mesin tangga

“Sasaran utama saya ialah pertahan maruah di tanah air sendiri jangan bagi orang luar menang sebab ini di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelari menara negara, Valerie Sarah Ong turut mencipta sejarah apabila mencatat rekod baharu Malaysia bagi kategori wanita.

1909 SKN WAI CHING REKOD DUNIA 5Valerie mencatat rekod Pendakian Menegak Terpanjang

Valerie mencatat rekod Pendakian Menegak Terpanjang (1.33 kilometer) di atas mesin tangga dalam tempoh satu jam.

“Bahagian paling sukar ialah dari segi mental. Badan masih boleh bergerak, tapi minda asyik suruh saya berhenti. Ia perlukan kekuatan mental dan semangat dalaman untuk teruskan hingga saya berjaya capai matlamat,” katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK