KUALA LUMPUR, 19 Julai - Dimitar Berbatov mahu melihat bekas kelabnya Manchester United bangkit kembali dan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun dengan persaingan sengit daripada beberapa pasukan handalan liga, beliau tidak pasti kelab mana bakal juara musim ini.
"Saya harap Manchester United akan menang liga, mungkin juga Tottenham Hotspur, sebab saya pernah bermain dengan kedua-duanya. Namun ia bukanlah mudah.
"Sentiasa ada Liverpool sebagai pencabar terbesar dan tentunya Manchester City dan banyak pasukan kuat lain yang akan merebut kejuaraan. Jadi siapa yang akan menang, terus terang saya tidak pasti. Kita tunggu dan lihat," katanya.
Berbatov ketika sidang media di ibu negara hari ini
Beliau berkata demikian dalam sidang media Kejohanan Zurich Liga 7x7 All Stars 2025, di sini hari ini.
Pada sidang media berkenaan, bekas penyerang The Red Devils itu turut mengakui teruja dapat kembali ke Malaysia dan ini adalah kali kedua kedatangannya tahun ini.
Menurutnya, pembabitan dalam kejohanan kali ini memberi peluang untuk mengimbau semula kecintaannya terhadap bola sepak.
"Ia sentiasa seronok dapat kembali dan apabila bercakap tentang bola sepak, walaupun kami sudah agak berusia, kami tetap mahu bermain. Ini satu idea yang hebat.
"Kami di sini untuk bermain (bola sepak), berhibur dan bergembira," katanya.