fb fb fb fb fb

Format bola sepak 7s semakin popular

Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Bekas bintang Manchester United, Ryan Giggs, percaya format tradisional bola sepak 11 sebelah akan kekal sebagai tonggak utama sukan itu di peringkat global, walaupun format permainan kecil seperti 7 sebelah (7s) semakin mendapat tempat.

Bercakap pada acara kejohanan Liga 7x7 All Stars 2025 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Giggs berkata, format yang lebih pendek itu memang menghiburkan dan mampu menarik minat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Namun, ia tidak akan mampu menggantikan format penuh.

1907 SKN LIGA X LEGENDA BOLA 3Giggs mengetuai Team Wizards - Foto BERNAMA

“Saya percaya format 11 sebelah akan sentiasa ada, dan dalam masa yang sama, permainan berskala kecil juga mempunyai ruang tersendiri.

“Permainan yang lebih pantas, pertukaran pemain tanpa had, lebih banyak gol dan lebih mendebarkan, tetapi ia tidak akan pernah menggantikan 11 sebelah kerana itu adalah asas dalam setiap liga tempatan mahupun antarabangsa,” katanya pada sidang media praperlawanan, di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas kapten Chelsea dan England, John Terry, juga senada menyatakan format 7s sangat menarik serta mempunyai potensi besar dari sudut media sosial, terutama apabila digabungkan dengan pempengaruh dan pencipta kandungan.

1907 SKN LIGA X LEGENDA BOLA 2Terry memimpin Team Bangsa Bola - Foto BERNAMA

“Format dan gaya permainan ini sangat mengujakan. Dalam tempoh 10 tahun terakhir, cara peminat mengikuti sukan ini juga sudah berubah, dan acara seperti ini mempunyai pengikut yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov pula berpendapat bola sepak berskala kecil dapat membantu membina kemahiran teknikal pemain kerana dimainkan dalam ruang yang lebih sempit.

“Permainan sebegini sudah lama popular di negara saya, Bulgaria. Sejak kecil lagi saya bermain lima sebelah, enam sebelah, tujuh sebelah dan sehingga kini saya masih bermain,” katanya.
1907 SKN LIGA X LEGENDA BOLA 4Berbatov menerajui Team Zurich - Foto BERNAMA

Dalam kejohanan Liga 7x7 All Stars 2025, Giggs mengetuai Team Wizards, Terry pula sebagai kapten Team Bangsa Bola dan Berbatov menerajui Team Zurich.

Manakala bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali akan memimpin Team Harimau.

Empat pasukan bertanding dalam kejohanan ini yang turut disertai gabungan bekas pemain profesional, tokoh terkenal, selebriti serta pempengaruh tempatan.

Mereka termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes; serta Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia, Tan Sri Nazir Razak.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK