fb fb fb fb fb

Bagnaia raih petak hadapan MotoGP Czech

Bagnaia mencatat masa terpantas 1 minit 52.303 saat pada sesi kelayakan di Litar Brno - AFP

BRNO, 19 Julai - Pelumba Ducati dari Itali, Francesco Bagnaia merangkul petak hadapan bagi perlumbaan MotoGP Czech selepas rakan sepasukan yang juga pendahulu kejuaraan, Marc Marquez, terlibat kemalangan.

Pada sesi kelayakan hari ini, Bagnaia bermula agak perlahan, namun berjaya mempamerkan tunggang mantap untuk meraih petak hadapan pertamanya musim ini.

1907 SKN MOTOGP CZE BAGNIA POLE 2Bagnaia meraih petak pertama selepas rakan sepasukan Marc Marques terbabit kemalangan - AFP

“Nasib baik saya ada 15 minit tambahan dalam sesi kelayakan. Ketika itu saya mula lebih faham cara untuk memecut di litar ini.

“Kami hanya lakukan sedikit pelarasan dan ia banyak membantu,” kata juara dunia 2022 dan 2023 itu.

Sementara itu, Marc akan bermula di petak kedua selepas hilang kawalan di selekoh ke-13 pada pusingan terakhir sesi kelayakan.

Insiden itu beri tamparan buat pelumba Sepanyol berkenaan yang dilihat mampu mengatasi catatan Bagnaia dengan mudah.

Dia bagaimanapun menyalahkan kemalangan membabitkan pelumba Perancis, Johann Zarco, di sektor sama beberapa saat lebih awal, yang didakwa mengganggu tumpuannya.

“Apabila Zarco terjatuh, saya nampak asap dan pandangan saya terus ke situ hingga terbabas sedikit dan hilang cengkaman tayar depan.

“Tapi selain itu, saya gembira dengan petak kedua ini," katanya.

Pelumba Yamaha dari Perancis, Fabio Quartararo pula akan melengkapkan barisan hadapan di petak ketiga.

Manakala juara dunia bertahan, Jorge Martin, akan bermula dari barisan keempat selepas kembali beraksi daripada siri kecederaan.

Martin tidak menyertai tiga perlumbaan awal musim ini susulan dua kemalangan pramusim, dan ketika kembali di Qatar pada April, dia sekali lagi terlibat dalam kemalangan serius yang memaksanya terlepas tujuh lagi perlumbaan.

Perebutan kejuaraan dunia musim ini diterajui Marc, yang yang telah 344 mata selepas 11 daripada 22 perlumbaan.

Adiknya, Alex berada di tempat kedua dengan 261 mata, manakala Bagnaia di tempat ketiga dengan 197 mata.

Bagnaia turut memecahkan rekod pusingan Marc di Brno yang dicatat pada 2016 dengan masa terpantas 1 minit 52.303 saat, dua saat lebih pantas.

Litar Brno yang kembali dalam kalendar MotoGP selepas lima tahun menyepi akibat masalah kewangan, kini tampil dengan permukaan litar baharu yang lebih pantas. - AFP

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK