fb fb fb fb fb

Sze Fei-Izzuddin hanya selangkah pertahan kejuaraan Terbuka Jepun

Sze Fei-Izzuddin menumpaskan beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-19, 21-11 - Foto BAM

TOKYO, 19 Julai – Rentak cemerlang diteruskan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila mengesahkan tempat ke pentas akhir Terbuka Jepun 2025.

Gandingan nombor satu dunia itu hanya memerlukan 35 minit untuk menundukkan beregu Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-19, 21-11 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan, di sini hari ini.

Kemenangan itu bukan sahaja mengekalkan rekod bersih ke atas pasangan Taiwan tersebut, malah membuktikan kestabilan prestasi Sze Fei-Izzuddin sejak menjuarai kejohanan sama tahun lalu.

Lebih manis, mereka juga kini berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran kedua musim ini selepas muncul juara Terbuka India Januari lalu.

1907 SKN BEREGU LELAKI CEMERLANG 2Beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas dalam satu lagi aksi separuh akhir - Foto BAM

Namun, cabaran sebenar menanti mereka di pentas final esok apabila dijadual menentang pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang kini menduduki ranking ketiga dunia.

Pertemuan itu dijangka sengit, memandangkan kedua-dua beregu pernah mencatatkan satu kemenangan masing-masing dalam dua pertemuan terdahulu dengan kali terakhir memihak kepada pasangan Korea Selatandi All England, Mac lalu.

Terdahulu, Won Ho-Seung Jae mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan wakil Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-14, 21-15 dalam tempoh 38 minit.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK