MONTEVIDEO, 11 Jun- Persaingan kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan semakin memuncak apabila Brazil mengesahkan tiket ke kejohanan berprestij itu sebagai pasukan kedua selepas Argentina, hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Paraguay di Sao Paulo, hari ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang Real Madrid, Vinicius Jr., pada penghujung babak pertama, sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna buat ketua jurulatih baharu, Carlo Ancelotti dalam penampilan sulungnya di laman sendiri.
Kejayaan itu menyaksikan Brazil terus mengekalkan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang layak ke semua edisi Piala Dunia dan kini bakal membuat penampilan kali ke-23 dalam kejohanan yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada tahun hadapan.
Dalam perlawanan berasingan, Uruguay pula terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas selepas mencatat kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Venezuela di Estadio Centenario.
Rodrigo Aguirre membuka jaringan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Maxi Araujo pada minit ke-42 sebelum Giorgian De Arrascaeta menggandakan kedudukan seawal minit ke-47 dengan rembatan cantik ke penjuru atas gawang. Kemenangan itu sekurang-kurangnya menjamin Uruguay tempat ke playoff antara benua buat masa ini.
Sementara itu, Argentina, yang sudah pun menempah slot ke Piala Dunia pada Mac lalu, menamatkan aksi kelayakan mereka dengan keputusan seri 1-1 menentang Colombia.
Gol penyamaan lewat permainan oleh Thiago Almada pada minit ke-81 menyelamatkan skuad Lionel Scaloni daripada kekalahan kedua berturut-turut kepada lawan sama.
Namun, kekecewaan jelas dirasai Chile apabila impian mereka untuk kembali ke pentas Piala Dunia berkecai selepas tewas 0-2 kepada Bolivia.
Kekalahan itu membawa padah buat jurulatih Ricardo Gareca yang mengumumkan peletakan jawatannya sejurus tamat perlawanan.-REUTERS