fb fb fb fb fb

Son Heung-min beri bayangan tinggalkan Spurs, belum pasti masa depan di EPL

Kapten pasukan kebangsaan Korea Selatan, Son Heung-min beri bayangan mahu tinggalkan Spurs dan EPL / AFP

SEOUL, 11 Jun- Kapten pasukan kebangsaan Korea Selatan, Son Heung-min memberi bayangan masa depannya bersama Tottenham Hotspur masih belum muktamad, sekali gus mencetuskan spekulasi perpindahan ke Liga Pro Arab Saudi.

Penyerang berusia 32 tahun itu yang masih berbaki setahun kontrak bersama Spurs enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai desas-desus tersebut selepas membantu Korea Selatan menewaskan Kuwait 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.

"Daripada saya berkata apa-apa buat masa ini, lebih baik kita semua tunggu dan lihat apa yang akan berlaku. Tapi tak kira di mana saya berada, saya akan sentiasa berikan yang terbaik. Itu takkan berubah," katanya kepada media.

Son baru sahaja menjulang trofi Liga Europa bulan lalu selepas membantu Tottenham menewaskan Manchester United 1-0 di Bilbao, trofi pertama sejak menyertai kelab itu pada 2015 dari Bayer Leverkusen.

Namun begitu, musim ini menyaksikan Spurs melalui kempen liga yang mengecewakan apabila menamatkan saingan satu tangga di atas zon penyingkiran, sekali gus menyebabkan ketua jurulatih Ange Postecoglou dipecat.

Son turut menerima kritikan susulan prestasi tidak konsisten musim ini, namun menegaskan beliau tetap berbangga dengan kejayaan kelab memenangi kejuaraan.

"Mungkin ada yang anggap musim saya hambar, tapi bagi saya ini musim istimewa kerana dalam bola sepak, kita bermain untuk menang dan hanya yang menang akan diingati," ujarnya lagi.

Dalam aksi antarabangsa, Son menyumbang kepada kejayaan Korea Selatan melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Iraq minggu lalu sebelum menutup kempen kelayakan dengan kemenangan ke atas Kuwait.

Mereka muncul juara Kumpulan B dalam pusingan ketiga kelayakan Asia dengan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan.

"Ramai anggap laluan kami mudah di Asia, tapi hakikatnya tiada apa yang mudah. Kami berjaya tamatkan kempen ini dengan baik kerana semua pemain bersatu hati dengan matlamat sama untuk tidak kalah dalam sebarang perlawanan," tambah Son yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-75.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE