KUALA LUMPUR, 11 Jun- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Malaysia atas bantuan dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap skuad bola sepak kebangsaan.
Menurut kenyataan FAM hari ini, komitmen padu kepimpinan tertinggi negara menjadi antara faktor utama kejayaan Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Selain bantuan kewangan melalui peruntukan khas kepada skuad kebangsaan, kerajaan juga berperanan penting sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan urusan dokumentasi pemain-pemain warisan baharu sehingga membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan tersebut.
FAM menyifatkan kerjasama erat itu sebagai bukti sokongan padu kerajaan terhadap pembangunan bola sepak negara, terutamanya dalam memastikan skuad Harimau Malaya kekal kompetitif di pentas antarabangsa.
“FAM amat menghargai sokongan yang diberikan dan berharap momentum ini akan terus berkekalan, bukan sahaja daripada pihak kerajaan, malah seluruh rakyat Malaysia agar Harimau Malaya terus melangkah gagah sebagai antara pasukan gergasi bola sepak di Asia,” menurut kenyataan itu.