fb fb fb fb fb

Indonesia akui kekalahan memalukan kepada Jepun

Ketua Jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert / REUTERS

OSAKA, 11 Jun- Ketua jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert menegaskan pasukannya perlu belajar daripada kekalahan memalukan 6-0 kepada Jepun jika mahu terus merealisasikan impian ke Piala Dunia buat kali pertama sebagai negara merdeka.

Walaupun dibelasah oleh gergasi Asia itu di Osaka, harapan Garuda untuk melakar sejarah kekal menyala selepas mereka mengakhiri saingan Kumpulan C di kedudukan keempat dan layak ke pusingan keempat kelayakan.

Indonesia bakal menyertai pasukan seperti Arab Saudi, Iraq, Oman, Emiriah Arab Bersatu dan juara Asia, Qatar dalam pusingan keempat yang dijadual bermula Oktober ini, dengan undian rasmi bakal berlangsung bulan hadapan.

Dua pasukan teratas daripada dua kumpulan tiga pasukan akan layak ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Kluivert yang merupakan legenda Belanda dan bekas penyerang Barcelona mengakui Jepun terlalu ampuh buat anak buahnya.

"Kita kena belajar daripada kekalahan besar ini," kata jurulatih berusia 48 tahun itu yang mengambil alih tugas pertengahan kempen pusingan ketiga.

"Memang kecewa, tapi kita perlu bersedia untuk pusingan keempat. Fokus sekarang ialah analisis selepas perlawanan, perbaiki kelemahan dan hadap cabaran akan datang."

Indonesia sebelum ini mengesahkan tiket ke pusingan keempat selepas menewaskan China 1-0 di Jakarta minggu lalu.

Namun, mereka nyata tidak setanding dengan Jepun yang sudah pun layak lebih awal ke Piala Dunia dengan baki tiga perlawanan dan menamatkan kempen dengan 30 jaringan daripada 10 perlawanan.

Kluivert turut berdepan kesukaran selepas kehilangan penyerang Kevin Diks akibat kecederaan pada babak pertama, manakala pemain gantian Yakob Sayuri pula dikeluarkan hanya 15 minit kemudian akibat pertembungan kepala.

"Kami cuba yang terbaik tapi jelas ia tidak mencukupi. Hakikatnya, kualiti pemain Jepun jauh lebih tinggi. Kita boleh cakap macam-macam, tapi itu realitinya – Jepun terlalu besar untuk kami malam ini," ujar Kluivert.

Tambah beliau, pasukan perlu akur dengan kekalahan itu dan terus mara ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE