fb fb fb fb fb

Aksi lawan Wales ujian terakhir sebelum kempen Piala Negara-Negara

Ketua Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh bercakap kepada media ketika Majlis Memperkenalkan dan Penyerahan Kenderaan Rasmi Kejohanan Hoki di Bermaz Auto Berhad hari ini / BERNAMA

SHAH ALAM, 11 Jun- Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh menyifatkan perlawanan persahabatan menentang Wales pada Jumaat ini sebagai pentas terakhir untuk menilai barisan pemain sebelum memulakan kempen kejohanan Piala Negara-Negara 2025.

Menurutnya, kesemua 20 pemain dalam skuad akan diberi peluang beraksi dalam perlawanan itu sebagai kesinambungan daripada dua siri jelajah ke Australia dan Korea yang telah dilalui sebelum ini.

"Kami akan beri peluang kepada semua 20 pemain untuk beraksi di Piala Negara-Negara nanti. Ini adalah peluang untuk kami cuba semua pemain, sebab sebelum ni kami dah jalani perlawanan di Australia dan Korea. Perlawanan ini dianggap macam persiapan terakhir sebelum ke aksi sebenar Piala Negara-Negara," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan 10 kenderaan jenama Mazda oleh Bermaz Auto kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), di Shah Alam.

Kenderaan tersebut akan digunakan oleh pegawai-pegawai yang terlibat sepanjang penganjuran Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 21 Jun ini.

Setakat ini, tahap motivasi dalam kalangan pemain berada pada tahap terbaik, Selepas lebih setahun bersama keserasian dan kefahaman antara pemain dilihat semakin kukuh dengan prestasi pasukan turut menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan, manakala Kumpulan A dibarisi Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.

Kejohanan bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan sasaran skuad negara mahu memperbaiki pencapaian kedudukan ketujuh, edisi lalu di Poland.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE