fb fb fb fb fb

Speedy Tigers fokus menang dua perlawanan awal

Ketua Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh mahu anak buahnya fokus menang dua perlawanan awal

SHAH ALAM, 11 Jun - Skuad hoki kebangsaan fokus untuk meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal menentang Pakistan dan New Zealand pada aksi pembukaan Kejohanan Piala Negara-Negara 2025.

Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, keputusan dalam dua perlawanan awal itu bakal menjadi penentu hala tuju pasukan sebelum meletakkan sebarang sasaran dalam kempen edisi kali ini.

 

Jika menang dua perlawanan awal, Speedy Tigers akan terus ke separuh akhir.

"Kalau nak laluan mudah, kita kena menang dua perlawanan awal. Kalau menang, kita terus ke separuh akhir.

"Tetapi bukan mudah kerana semua pasukan datang ke sini dengan misi untuk memenangi Nation Cup. Jika kita berjaya kumpul enam mata awal, peluang untuk layak sangat cerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan 10 kenderaan jenama Mazda oleh Bermaz Auto kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), di sini hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, New Zealand dan Jepun, manakala Kumpulan A dibarisi Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.

Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 akan berlangsung dari 15 hingga 21 Jun ini.

Speedy Tigers dijadualkan menentang Pakistan pada 15 Jun (Ahad) dan New Zealand pada keesokan harinya.

Sebagai rekod, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh pada edisi lalu di Gniezno, Poland.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK