fb fb fb fb fb

Ranking Harimau Malaya dijangka melonjak selepas 'baham' Naga Merah

Kemenangan 4-0 Malaysia ke atas Vietnam melonjakkan kedudukan ranking FIFA - Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dijangka melonjak lima anak tangga susulan kejayaan membenam Vietnam pada aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, semalam.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kendalian Peter Cklamovski menang 4-0 ke atas skuad Naga Merah.

Gol-gol Harimau Malaya dijaringkan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools.

 1106 SKN RANKING HARIMAU MALAYA 4
Pemain Harimau Malaya meraikan gol ketika aksi menentang Vietnam - Foto FB FAM

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini di tangga teratas kumpulan dalam perebutan slot ke kejuaraan di Arab Saudi yang dijadualkan pada Januari 2027.

Kemenangan itu turut menyumbang kepada mata tambahan bagi kedudukan ranking FIFA.

Malaysia mencatat tambahan 11.97 mata, menjadikan jumlah keseluruhan terkumpul kini sebanyak 1,135.54 mata.

 1106 SKN RANKING HARIMAU MALAYA 3
Malaysia kini di ranking ke-126 - Foto FB FAM

Kemas kini semasa di laman football-ranking.com, menyaksikan Malaysia akan melonjak lima anak tangga ke ranking ke-126 dunia, berbanding kedudukan ke-131 sebelum ini.

Bagaimanapun, kedudukan rasmi semua pasukan dalam ranking dunia hanya akan diketahui dalam kemas kini terbaharu yang akan diumumkan FIFA.

Malaysia dijadual meneruskan aksi peringkat kumpulan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 Oktober depan di gelanggang lawan.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK