KUALA LUMPUR, 11 Jun - Kemenangan bergaya Malaysia ke atas Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 semalam, disifatkan sebagai bukti sinergi mantap antara pemain warisan dan pemain tempatan dalam skuad Harimau Malaya.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kehadiran pemain warisan dalam pasukan memberikan nilai tambah yang jelas, sekali gus memperkukuh kekuatan skuad negara secara keseluruhan.
Menurutnya, pemain warisan yang dipilih benar-benar berkualiti dan mampu menyumbang secara efektif kepada pasukan.

Pemain warisan beri nilai tambah kepada Harimau Malaya - Foto FB FAM
“Kita hendakkan pemain warisan yang berkualiti yang boleh memberikan sumbangan kepada pasukan Harimau Malaya dan juga pemain warisan yang mendapat ‘tabik’ daripada pemain tempatan sendiri.
“Pemain tempatan sendiri memperakui bahawa pemain warisan yang kita ambil ini adalah pemain yang terbaik supaya tidak ada komen-komen negatif,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, persembahan cemerlang pemain warisan itu tidak harus menenggelamkan usaha dan sumbangan pemain tempatan.
Menurutnya, sebagai contoh aksi pemain muda negara, Arif Aiman, yang mempamerkan prestasi luar biasa dalam perlawanan tersebut.

Arif Aiman menyumbang dua bantuan gol ketika aksi menentang Vietnam - Foto FB FAM
“Kita jangan lupakan sumbangan Arif Aiman malam tadi, dua bantuan gol adalah daripadanya, pemain tempatan kita," katanya.
Tambahnya, kewujudan pemain berkualiti dalam pasukan mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi pemain tempatan lain.
Beliau turut menyeru pemain yang masih belum mendapat tempat dalam skuad utama agar tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan prestasi semalam sebagai motivasi untuk meningkatkan daya saing.
Melihat kepada kesungguhan pemain warisan, beliau percaya bahawa sentimen tidak puas hati dalam kalangan penyokong tempatan akan semakin terhakis, terutamanya jika mereka menunjukkan komitmen untuk benar-benar mewakili negara.
“Gunakan kelebihan ada pada pemain warisan ini, pelajari ilmu mereka dan jadikan mereka sebagai satu penanda aras kepada pemain tempatan untuk bersaing dan merebut tempat dalam pasukan,” katanya.