SHAH ALAM, 11 Jun - Persiapan skuad Speedy Tigers menjelang Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 21 Jun ini, di ibu negara berjalan lancar.
Pemain pertahanan negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil, 35, menyifatkan prestasi serta motivasi pemain berada pada tahap terbaik ketika ini.
Menurutnya, siri perlawanan ujian di Australia dan Korea Selatan sebelum ini banyak membantu memperkemaskan aspek serangan dan pertahanan, selain memanfaatkan khidmat legenda pukulan sudut Pakistan, Sohail Abbas.
"Bagi persiapan akhir, kami mendapat ilmu dan bimbingan daripada pakar sudut penalti, Suhail Abbas yang memberi info-info berguna untuk kami perkemas dan tajamkan serangan di Piala Negara-Negara nanti.
"Kejohanan ini, bagi saya adalah ujian sebenar kami," katanya.
Marhan turut optimis pasukan negara akan berikan persembahan terbaik dalam aksi pembukaan menentang Pakistan, untuk raih kemenangan sekali gus membuka peluang mara ke separuh akhir.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, New Zealand dan Jepun, manakala Kumpulan A dibarisi Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.