HO CHI MINH, 11 Jun - Skuad bola sepak wanita bawah 19 tahun (B-19) negara gagal mengekalkan momentum kemenangan dalam aksi kedua Kejuaraan Wanita B-19 ASEAN 2025, di sini hari selepas tewas besar 1-7 kepada Thailand.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium District 8 itu, anak buah Cameron Ng bergelut menyaingi kekuatan lawan apabila ketinggalan seawal minit kedua permainan.

Malaysia sempat menyamakan kedudukan hasil jaringan Kaseh Carlmila pada minit ketiga, namun selepas itu, Thailand terus mendominasi perlawanan dengan enam lagi jaringan termasuk gol sendiri oleh Arecha Efandi pada minit ke-29.
Kekalahan itu menyaksikan Malayan Tigress kini menghuni tangga kedua Kumpulan B dengan tiga mata, manakala Thailand ditangga teratas selepas mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.

Kemboja dan Indonesia pula masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat selepas seri 1-1 dalam perlawanan hari ini.
Dalam aksi pembukaan pada 9 Jun lalu, Malayan Tigress memulakan langkah kanan apabila menumpaskan Kemboja 4-0.