fb fb fb fb fb

E-sukan: ACS EDU kembali untuk musim keempat

Siri jelajah e-sukan universiti, ACS EDU kembali bagi musim keempat - Foto FB UCSI University

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Siri jelajah e-sukan universiti, ACS EDU kembali bagi musim keempat dan menjadi platform menyeluruh untuk membina dan mengangkat bakat muda kampus, khususnya penuntut universiti, dalam bidang e-sukan dan kandungan digital.

Di sebalik kejohanan berskala besar, ACS tampil sebagai ruang sebenar untuk generasi baharu menonjol di luar kampus, bahkan melangkah ke pentas serantau.

Ahli Strategi Komersial CRIT Esports, Chris Seow, menyifatkan ACS sebagai pintu peluang yang jarang muncul untuk pelajar universiti yang mempunyai bakat, tetapi masih jauh daripada akses ke tahap profesional.

 

Ahli Strategi Komersial CRIT Esports, Chris Seow

"Untuk bakat muda, jujurnya, mereka sukar untuk terus masuk ke peringkat profesional kerana terlalu ramai pemain hebat di luar sana.

"Mereka perlukan satu peluang nyata dan ACS adalah peluang itu," katanya.

Sebagai sebahagian daripada visi untuk memperluas horizon pelajar, musim ini bakal memperkenalkan 'In-Season Cup'.

Kejohanan mini khas yang memberi peluang kepada pasukan-pasukan juara negeri untuk bertembung dengan pasukan dari negara-negara ASEAN sebelum mara ke perlawanan akhir.

“In-Season Cup ini direka selepas pusingan awal kejohanan, sebelum perlawanan akhir. Ia bukan setakat dalam Malaysia, tetapi kita bawa mereka berentap dengan pasukan luar, peringkat ASEAN.

"Belum sepenuhnya antarabangsa, namun sudah di luar sempadan negara," katanya.

Dengan sokongan Tencent Games Malaysia, para pelajar akan bersaing dalam permainan 'Honor of Kings', yang memenangi anugerah 'Google Play Best Game 2024' di Asia Tenggara.

Kejohanan ini melibatkan 16 pasukan dari setiap negeri dan wilayah persekutuan, dengan 110 kampus dijangka terlibat dari Jun hingga November 2025.

Musim ini bukan sahaja menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan RM200,000, tetapi pemenang juga akan menandatangani kontrak separa profesional bersama CRIT sebagai pasukan rasmi Honor of Kings.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK