MEXICO CITY, 12 Jun- Mexico City bersedia untuk menganjurkan Piala Dunia 2026 selain memberikan pengalaman unik kepada para peminat bola sepak dari seluruh dunia.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, berkata bandar raya itu akan menyambut kehadiran penyokong tanpa sebarang unsur diskriminasi.
"Suasana Piala Dunia akan dirasai sepenuhnya di sini. Sebuah bandar yang bakal meraikan Piala Dunia tanpa sebarang unsur perkauman, kelas sosial, diskriminasi, xenofobia atau homofobia. Piala Dunia untuk semua. Di Mexico City, semua penyokong dari seluruh dunia dialu-alukan," katanya.
Sementara itu, Pengarah FIFA Mexico, Jurgen Mainka, menyatakan kebanggaan kerana Mexico City akan menjadi tuan rumah kepada tiga majlis perasmian Piala Dunia.
"Pihak FIFA Mexico dan FIFA mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa tempatan serta Datuk Bandar dan seluruh kerajaan tempatan atas kerjasama yang diberikan. Piala Dunia bukan sekadar mengenai bola, atau pemain seperti Alessandro, mahupun apa yang dibawa oleh FIFA selaku penganjur acara bola sepak, tetapi ia melibatkan koordinasi menyeluruh," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Stadium Banorte, Felix Aguirre, memaklumkan bahawa venue utama bagi kejohanan dunia itu bakal tampil dengan wajah baharu hasil pelaburan besar menerusi projek naik taraf.
"Kita akan meraikan segalanya di sebuah stadium moden dan berteknologi tinggi untuk semua – Stadium Banorte. Projek pengubahsuaian ini melibatkan pelaburan melebihi 3 bilion peso, dengan 2.1 bilion peso daripadanya disumbangkan oleh penajaan Banorte, yang telah diumumkan pada awal tahun ini.
"Ia merangkumi kombinasi pemodenan dan pemuliharaan, termasuk pengembangan kapasiti serta memastikan pengalaman terbaik dari segi hiburan, kesalinghubungan dan aksesibiliti untuk para penyokong serta pengunjung," ujarnya.
Piala Dunia FIFA 2026 dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah, dengan Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada berganding bahu sebagai tuan rumah bersama.- REUTERS