fb fb fb fb fb

Miami lancar kira detik menjelang Piala Dunia 2026

Majlis pelancaran kira detik menjelang Piala Dunia 2026/ REUTERS

MIAMI, 12 Jun- Bandar raya Miami secara rasmi melancarkan pengiraan detik setahun menjelang pembukaan Piala Dunia 2026, di tengah-tengah kebimbangan mengenai penerimaan pelancong antarabangsa ke Amerika Syarikat (AS) susulan dasar imigresen dan larangan perjalanan yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump.

Majlis pelancaran di pusat bandar Miami itu menyaksikan Jawatankuasa Penganjur Tempatan Miami 2026 memperkenalkan jam kiraan detik rasmi, dengan kehadiran penyanyi terkenal Marc Anthony sebagai tetamu istimewa.

Jam tersebut akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Miami untuk memberi peluang kepada pengunjung dan pelancong untuk melihat kiraan hari, jam, minit dan saat yang berbaki sebelum kejohanan bermula.

Bagaimanapun, persoalan terus berlegar mengenai tahap kehadiran pelawat antarabangsa dan sama ada mereka akan berasa dialu-alukan, terutama selepas insiden kekacauan yang berlaku di Los Angeles minggu ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Miami, Alina T. Hudak, memberi jaminan bahawa Miami kekal sebagai destinasi pelancongan selamat dan bersifat terbuka.

"Saya tidak fikir ada sesiapa yang perlu berasa bimbang. Miami merupakan sebuah tempat yang sangat mesra pelawat dan kami amat teruja untuk menyambut kehadiran dunia,” katanya.

Ketika ditanya sama ada agensi seperti CBP (Customs and Border Protection) dan ICE (Immigration and Customs Enforcement) akan terlibat dalam pelan keselamatan, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur, Rodney Barreto, menjelaskan peranan mereka hanyalah bersifat sokongan.

"Mereka mungkin akan terlibat dalam peranan sokongan untuk membantu aspek keselamatan, tetapi bukan untuk menangkap individu," katanya.

Dalam pada itu, pasukan Argentina dijangka tampil untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada Piala Dunia 2022, dengan Lionel Messi berkemungkinan besar menyertai skuad dalam penampilan terakhirnya di pentas tertinggi bola sepak dunia.

Amerika Syarikat, bersama Kanada dan Mexico, akan menjadi tuan rumah bersama bagi kejohanan berprestij itu yang bakal menyaksikan penglibatan 48 pasukan dengan 104 perlawanan.- REUTERS.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI