fb fb fb fb fb

CONCACAF pantau situasi di Los Angeles menjelang Piala Emas 2025

Stadium SoFi/ REUTERS

LOS ANGELES, 12 Jun- Badan induk bola sepak bagi Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) masih melakukan komunikasi berterusan dengan pihak berkuasa tempatan berikutan siri tunjuk perasaan yang masih berlanjutan di Los Angeles.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan menjelang perlawanan pembukaan kejohanan Piala Emas 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium SoFi pada Sabtu ini (14 Jun), dengan pertemuan antara Mexico dan Republik Dominican.

Protes tercetus selepas beberapa siri operasi imigresen yang dilaksanakan di beberapa kawasan bandar, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam kalangan penduduk dan komuniti pendatang.

CONCACAF dalam satu kenyataan menegaskan bahawa keselamatan semua pihak kekal menjadi keutamaan utama.

"Keselamatan dan kesejahteraan semua peserta, penyokong dan pihak berkepentingan adalah keutamaan tertinggi Konfederasi.

"Kami akan terus memantau perkembangan semasa secara aktif sambil bekerja ke arah penganjuran kejohanan bertaraf dunia yang menyerlahkan keindahan sukan ini dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan menyeronokkan untuk semua – bermula dengan perlawanan pembukaan pada Sabtu, 14 Jun 2025, di Los Angeles," menurut kenyataan itu.

Antara perlawanan tumpuan ialah pertembungan antara Paris Saint-Germain dan Atletico Madrid yang dijadual berlangsung di Stadium Rose Bowl, Pasadena, pada Ahad ini.

Los Angeles juga sedang membuat persiapan bagi penganjuran perlawanan kejohanan Piala Dunia 2026. - REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI