NEW YORK, 12 Jun- Pemimpin dan penganjur tempatan tampil mempersembahkan perancangan buat peminat bola sepak dunia setahun sebelum Piala Dunia 2026, di sebalik kebimbangan terhadap kesan dasar imigresen yang diperkenalkan Presiden Donald Trump.
Pengarah Eksekutif Bahagian Pelancongan New York – I Love NY, Ross D. Levi berkata acara sambutan itu berlangsung meriah di kawasan dermaga New York–New Jersey, dengan latar belakang Ellis Island, sebagai simbol keterbukaan kepada pelawat dari seluruh dunia.
"Piala Dunia FIFA dijangka menjadi acara sukan terbesar dalam sejarah kemanusiaan, dengan kehadiran lebih sejuta pelawat ke rantau ini sepanjang 39 hari perlawanan.
"Kami mengalu-alukan peminat dari seluruh dunia untuk menikmati semua yang mereka suka, terutamanya di New York. Kejohanan sukan berprestij ini mengukuhkan lagi reputasi New York sebagai pusat sukan bertaraf dunia," katanya.
Amerika Syarikat, bersama Kanada dan Mexico, akan menjadi tuan rumah bersama untuk kejohanan yang menampilkan 48 pasukan dengan 104 perlawanan.
Ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden JD Vance bulan lalu yang memberi amaran kepada pelawat agar tidak "terlebih menetap" selepas kejohanan,
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur New York–New Jersey, Alex Lasry, berkata tumpuan mereka adalah untuk memastikan semua tetamu menikmati pengalaman terbaik.
"Matlamat kami ialah untuk memastikan semua yang datang ke New York–New Jersey mempunyai pengalaman yang luar biasa.
"Apabila anda menganjurkan acara sukan mega, anda harus sedar bahawa dunia tidak terhenti. Kehidupan tetap berjalan. Jadi kita perlu bersikap fleksibel dan mampu menyesuaikan diri," tambah Lasry.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa dunia akan disambut dengan mesra sempena Piala Dunia 2026 dan Piala Dunia Kelab FIFA tahun ini, yang berlangsung dari 14 Jun hingga 13 Julai.
Namun usaha meyakinkan pelawat antarabangsa sedikit terjejas susulan penguatkuasaan larangan perjalanan yang mula berkuat kuasa pada Isnin.
Daripada 12 negara yang terlibat dalam sekatan tersebut, hanya Iran yang telah layak ke Piala Dunia 2026 setakat ini.
Namun Tehran pada Sabtu lalu menyifatkan larangan itu sebagai tanda 'permusuhan mendalam' terhadap rakyat Iran dan umat Islam.- REUTERS