DOHA, 18 Disember- Penyerang Real Madrid Vinicius Junior dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA pada majlis di sini pada Selasa, manakala pemain tengah Barcelona Aitana Bonmati meraih anugerah Pemain Wanita Terbaik FIFA untuk kali kedua.
Anugerah itu diberikan dua bulan selepas Vinicius, 24, menduduki tempat kedua dalam anugerah Ballon d'Or, yang mana Real Madrid memilih untuk tidak hadir selepas mengetahui bahawa pemain tengah Manchester City Rodri akan memenangi anugerah tersebut.
Namun kali ini, pemain Brazil tersebut hadir untuk menerima anugerah itu secara peribadi ketika berada di Qatar bersama kelabnya menjelang perlawanan akhir Piala Interkontinental menentang Pachuca dari Mexico pada Rabu.
"Terima kasih banyak. Saya tidak tahu di mana untuk bermula. Tidak terfikir untuk sampai ke sini. Saya dibesarkan dalam dunia kemiskinan dan jenayah terancang. Ini (anugerah) untuk semua anak-anak yang dibesarkan dalam dunia itu. Saya berterima kasih kepada semua yang mengundi saya," kata Vinicius ketika menerima anugerah terbabit.
Vinicius menggantikan Lionel Messi sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA selepas pemain Argentina itu memenangi anugerah berkenaan dua kali berturut-turut.
Beliau menjaringkan 24 gol dan memberi 11 bantuan gol dalam 39 perlawanan di semua pertandingan, memimpin Real Madrid untuk meraih kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu.
Pada Mei, Vinicius menambah gelaran La Liga ketiga dan kemudian meraih trofi Liga Juara-Juara kedua dalam kariernya selepas Real Madrid menewaskan Borussia Dortmund 2-0 pada 1 Jun.
Vinicius turut menjaringkan gol di Wembley untuk memastikan kemenangan pasukannya.
Sementara, Bonmati, 26, meraih Anugerah Pemain Wanita Terbaik FIFA untuk tahun kedua berturut-turut, menambah koleksi dua Ballon d'Or yang dimilikinya.
"Saya bersyukur, saya berbangga menerima anugerah ini," kata Bonmati menerusi sambungan video dari Stadium Olimpik Barcelona.
Pada musim lalu, Bonmati memimpin Barcelona meraih empat gelaran bersejarah dalam perlawanan kontinental dan menambah kejuaraan Liga Negara dengan pasukan kebangsaannya.
Beliau memenangi semua trofi yang tersedia dalam bola sepak kelab pada 2023/24 -- Liga Sepanyol, Copa de la Reina, Supercopa de Espana, dan Liga Juara-Juara Wanita untuk kali kedua berturut-turut.
Bonmati menjaringkan gol dan tampil cemerlang sebagai Pemain Terbaik dalam final Liga Juara-Juara Wanita ketika Barcelona menewaskan Lyon 2-0 untuk meraih gelaran ketiga dalam empat musim.
Pemain sayap Manchester United dari Argentina, Alejandro Garnacho, pula memenangi anugerah Puskas untuk gol terbaik tahun ini bagi gol sepakan gunting yang spektakular menentang Everton dalam Liga Perdana. -AFP