IPOH, 18 Disember- Perak FC terus berputih mata selepas tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi ke-17 Liga Super, malam tadi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Gol pertama Selangor diperoleh pada minit ke-41 menerusi tonggak import Alvin Fortes selepas mendapat hantaran cantik daripada Quentin Cheng.
Selang dua minit kemudian tuan rumah hampir menyamakan kedudukan, namun sepakan Ketua Pasukan Perak FC Wan Zack Haikal berjaya ditepis penjaga gol pelawat.
Tuan rumah banyak memperoleh peluang, namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain.
Anak didik Kinoshi Katsushito menambah satu lagi jaringan pada minit ke-71; sekali lagi menerusi Alvin Fortes.
Manakala pada minit ke-89 Wan Zack berpeluang menebus kekecewaan pada separuh mata pertama dengan menyumbang gol tunggal Perak sekali gus mengekalkan kedudukan hingga ke akhir perlawanan pada 1-2.
Jurulatih Sepangor FC Kinoshi Katsushito berpuas hati dengan komitmen para pemainnya sepanjang perlawanan.
"Kita mesti belajar mempertimbangkan matlamat dalam setiap permainan. Ada juga beberapa kecederaan dan kita akan terus menumpukan untuk perlawanan depan," katanya.
Sementara itu Ketua Jurulatih Perak FC Yusri Che Lah memuji usaha keras yang dipamerkan pemain pada perlawanan itu namun masih banyak kelemahan perlu diperbaiki.
"Saya fikir ini hukuman akibat kelalaian sendiri. Sebelum Perlawanan saya telah memberitahu bahawa kita akan bertemu dengan pasukan berpengalaman.
"Seandainya kita leka ataupun cuai dalam setiap tindakan, kita akan dihukum," katanya.