MADRID, 14 September - Pelumba Denmark, Jonas Vingegaard, hampir pasti menjuarai Vuelta a Espana 2025 selepas menambah kelebihan keseluruhan dalam saingan penultimate semalam, meninggalkan pencabar terdekatnya, Joao Almeida, jauh di belakang pada kilometer terakhir.
Vingegaard, juara Tour de France dua kali dan naib juara Vuelta 2023, meraih kemenangan peringkat ketiga musim ini dengan penuh gaya, menepati statusnya sebagai pilihan utama sebelum perlumbaan.
Perjalanan sejauh 165.6 km dari Robledo de Chavela hingga ke puncak Bola del Mundo menyaksikan persaingan sengit sehingga kilometer terakhir, namun pelumba Visma-Lease a Bike itu memilih menyerang daripada sekadar mengekalkan jersi merahnya.
Almeida dari Portugal, yang bermula dengan ketinggalan 44 saat, gagal menyaingi dan tamat di tempat kelima peringkat dengan ketinggalan 22 saat, manakala Vingegaard kini membawa kelebihan 1 minit 16 saat menjelang peringkat terakhir ke Madrid, esok.
Rakan sepasukan Vingegaard dan juara 2023, Sepp Kuss, menamatkan peringkat kedua dengan ketinggalan 11 saat, diikuti pelumba Australia, Jai Hindley (Red Bull-BORA Hansgrohe), di tempat ketiga.
Perlumbaan peringkat ke-20 bermula dengan kumpulan pelumba pelarian awal sebelum disaring kepada dua pelumba, Mikel Landa dan Giulio Ciccone, yang akhirnya ditangkap tiga kilometer terakhir, membuka peluang sebenar untuk perebutan peringkat dan kedudukan keseluruhan.
Pelumba Britain, Tom Pidcock (Q36.5 Pro Cycling Team), menamatkan peringkat di tempat keempat, 30 saat di belakang Hindley, dan berpotensi meraih podium Grand Tour pertamanya.-REUTERS