CHARLOTTE, 14 September - Charlotte FC mengekalkan rentak cemerlang mereka dengan kemenangan kesembilan berturut-turut dalam MLS selepas menumpaskan lawan mereka, Inter Miami 3-0, malam tadi.
Penyerang, Idan Toklomati mencatat hatrik pertama dalam kariernya untuk menambah jumlah jaringan musim ini kepada 11 gol. Kejayaan itu turut disokong oleh penjaga gol Kristijan Kahlina yang menyelamatkan lima cubaan penting termasuk menafikan penalti Lionel Messi pada minit ke-32, sekali gus mengekalkan gawangnya 'bersih' untuk kali ke-10 musim ini.
Gol pertama Toklomati hadir pada minit ke-34 hasil gabungan gerakan cantik Charlotte, apabila Ashley Westwood menghidupkan serangan dengan membuat hantaran ke Kerwin Vargas, yang kemudian melakukan umpanan ke depan gol untuk disudahkan Toklomati.
Gol kedua tercipta seawal minit kedua selepas rehat, menerusi hantaran bijak Wilfried Zaha kepada Brandt Bronico, sebelum Toklomati menamatkan serangan dengan jaringan kemas. Pemain yang sama kemudian menambah jaringan ketiga melalui sepakan penalti pada minit ke-84 selepas pertahanan Miami, Tomas Aviles, dilayangkan kad merah kedua kerana mengasari Toklomati.
Kemenangan itu mengekalkan Charlotte FC di tangga kedua Konferens Timur dengan rekod 17-11-2 dan 53 mata, hanya empat mata di belakang pendahulu Philadelphia, sambil menyamai rekod MLS sembilan kemenangan berturut-turut sejak 1999, sebelum sistem penalti ditamatkan.
Inter Miami pula kekal di tangga keenam dengan 46 mata selepas dua perlawanan berturut-turut gagal menjaringkan gol dalam semua saingan musim ini.-REUTERS
