fb fb fb fb fb

Vietnam terima tamparan hebat Harimau Malaya, terpaksa terima hakikat kekalahan

Pengendali Vietnam, Kim Sang-sik

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Pengendali Vietnam, Kim Sang-sik sama sekali tidak menyangka pasukannya tewas 4-0 kepada Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Namun, itulah realiti yang terpaksa diterima apabila barisan pemain Harimau Malaya menghadiahkan kekalahan terbesar kepada Vietnam dalam pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, pada Selasa.

Katanya, kekalahan tersebut merupakan situasi yang tidak dijangka dan beliau memohon maaf kepada penyokong Vietnam yang telah menyaksikan perlawanan tersebut.

Sebelum itu, dua pemain naturalisasi baharu negara, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado menjaringkan gol dalam penampilan sulung mereka bersama Harimau Malaya, sekali gus membantu Malaysia membenam Vietnam 4-0 dalam perlawanan tersebut.

Babak pertama yang agak sepi digantikan dengan aksi berbeza pada separuh masa kedua apabila anak didik Peter Cklamovski menjaringkan empat gol tanpa balas dalam tempoh 45 minit di hadapan 61,512 penyokong.

Lebih manis, kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan skuad negara tiga mata penuh untuk mengukuhkan kedudukan ke Piala Asia 2027, malah turut memecah kebuntuan 11 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad 'Naga Emas'.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia berada di tangga teratas Kumpulan F dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan, mengumpul enam mata maksimum, sementara Vietnam kekal dengan tiga mata.

Selain Figueiredo dan Holgado, La'Vere Corbin-Ong serta Dion Cools turut mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE