fb fb fb fb fb

Veteran Vos rampas jersi kuning Tour de France wanita

Foto AFP

ANGERS, 29 Julai - Pelumba veteran Belanda, Marianne Vos, menyarung jersi pendahulu keseluruhan dalam perlumbaan Tour de France wanita pada Isnin selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang rakan senegara, Lorena Wiebes, pada peringkat ketiga.

Vos, 38, yang juga juara dunia tiga kali, kini mendahului enam saat di hadapan pelumba Mauritius, Kim Le Court, dalam kedudukan keseluruhan selepas kayuhan sejauh 163.5km yang rata dari La Gacilly ke Angers di barat Perancis.

Juara Olimpik acara merentas desa dari Perancis, Pauline Ferrand-Prevot, melengkapkan kedudukan tiga teratas dengan ketinggalan 12 saat, manakala pemenang Tour tahun lalu, Katarzyna Niewiadoma, berada di tempat keempat.

Vos, memulakan edisi Tour tahun ini dengan cemerlang apabila memenangi peringkat pembukaan di Vannes pada hari Sabtu.

Walaupun memiliki senarai pencapaian luar biasa termasuk pingat emas Olimpik 2012, Giro d’Italia wanita, serta kejayaan dalam pelbagai perlumbaan klasik, dia masih belum pernah menjuarai Tour, meskipun pernah menyarung jersi kuning selama lima hari pada tahun 2022.

"Kami tahu ada peluang yang agak besar untuk pecut berkumpulan," kata Vos.

"Apabila tiba ke pecut berkumpulan, anda tahu bahawa Lorena Wiebes adalah pilihan utama, tetapi sudah tentu anda tetap mencuba," tambahnya.

Penamat peringkat di tebing Sungai Loire, yang terkenal dengan pengeluaran wain, dicemari insiden kemalangan besar apabila pelumba pilihan sebelum peringkat, Demi Vollering, terjatuh.

Pelumba Belanda daripada pasukan FDJ-SUEZ itu, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua keseluruhan tahun lalu, kekal di kedudukan kelima secara keseluruhan walaupun terlibat dalam insiden 3.7km sebelum garisan penamat.

"Dia mahu meneruskan perlumbaan, tetapi kami perlukan masa untuk ke hotel, periksa keadaannya, ke hospital dan selepas satu malam, kami akan kembali memberikan maklumat," kata pengurus besar FDJ-SUEZ, Stephen Delcourt, kepada pemberita.

"Dia benar-benar terkejut. Dia mengalami kesakitan di lutut, punggung dan belakang.

"Kita perlu tunggu, kerana kita tidak pasti sama ada itu hanya kesan daripada kejutan akibat jatuh atau jika dia memerlukan masa," tambahnya.

Selepas kemalangan itu, Wiebes, juara Eropah dua kali, berjaya mengekalkan kedudukan untuk meraih kemenangan peringkat keempat dalam Tour, sekaligus menambah kepada 15 kemenangannya musim ini.

Peringkat keempat pada hari Selasa, daripada sembilan peringkat dalam edisi keempat Tour wanita ini, juga merupakan laluan rata sejauh 130.7km menghala ke selatan dari Saumur, juga di tebing Sungai Loire, ke Poitiers.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH