MONTREAL, 29 Julai - Naomi Osaka dari Jepun, juara Grand Slam perseorangan empat kali, akan bekerjasama dengan jurulatih Poland, Tomasz Wiktorowski, secara percubaan selepas berpisah dengan Patrick Mouratoglou, kurang daripada setahun selepas mereka mula bekerjasama.
Osaka mengumumkan perpisahannya dengan Mouratoglou jurulatih dari Perancis yang terkenal kerana pernah membimbing bintang tenis Serena Williams menerusi media sosial pada Isnin, sebelum menewaskan pemain kelayakan Kanada, Ariana Arseneault, 6-4, 6-2 dalam masa 76 minit pada pusingan pertama Terbuka Kanada WTA di Montreal.
Osaka, yang kini menduduki ranking ke-49 dunia, memulakan kerjasama bersama Wiktorowski di kejohanan tersebut.
Wiktorowski sebelum ini pernah melatih Agnieszka Radwańska dari Poland antara 2011 hingga 2018, dan berjaya membantu pemain itu mara ke final Wimbledon serta mencapai ranking kedua dunia pada Julai 2012.
Beliau juga melatih Iga Swiatek dari penghujung tahun 2021 hingga Oktober tahun lalu — tempoh di mana Swiatek merangkul empat daripada enam gelaran Grand Slam perseorangan dalam kariernya, sebelum menambah satu lagi kejuaraan di Wimbledon awal bulan ini.
Osaka kini memiliki rekod 11-1 dalam perlawanan menentang pemain di luar kelompok 100 terbaik dunia, dan bakal berdepan pilihan ke-13, Liudmila Samsonova, pada pusingan kedua. Mereka telah bertemu empat kali sebelum ini, masing-masing menang dua perlawanan, namun Osaka memenangi kedua-dua perlawanan yang berlangsung di gelanggang keras.
Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang kini berusia 27 tahun, mula bekerjasama dengan Mouratoglou pada September lalu.
"Merci Patrick, ia merupakan satu pengalaman hebat belajar daripada anda," tulis Osaka di media sosial. "Semoga yang terbaik buat anda. Anda antara individu paling hebat yang pernah saya temui, dan saya pasti kita akan berjumpa lagi."
Mouratoglou pula menyatakan di Instagram bahawa beliau "berterima kasih atas kepercayaan, perjalanan dan apa yang telah kita bina bersama," dan memberitahu Osaka bahawa beliau "akan sentiasa menyokong anda."
Sepanjang di bawah bimbingan jurulatih Perancis itu, Osaka mara ke final di Auckland pada Januari, namun terpaksa menarik diri selepas set pertama akibat kecederaan abdomen. Beliau turut memenangi dua perlawanan di Terbuka Australia sebelum menarik diri daripada pusingan ketiga kerana kecederaan yang sama.
Pada Mei lalu, Osaka menjuarai kejohanan L’Open 35 de Saint Malo — gelaran WTA pertamanya sejak Terbuka Australia 2021 — namun tewas di pusingan pertama Terbuka Perancis dan pusingan ketiga di Wimbledon.
Bintang berusia 28 tahun dari Amerika Syarikat itu kini dalam usaha memburu gelaran dunia ke-22 dalam kariernya.-AFP