fb fb fb fb fb

Jonassen: Prestasi pemain muda badminton perlu terus dipertingkat

Pengarah Kejurulatihan BAM, Kenneth Jonassen / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Kegagalan skuad perseorangan lelaki negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Solo, Indonesia bukanlah satu kejutan besar buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pengarah Kejurulatihan BAM, Kenneth Jonassen menyatakan keputusan itu sudah dijangka berdasarkan tahap semasa pemain muda negara yang memerlukan pendekatan pembangunan jangka panjang.

Malaysia menamatkan kempen di GOR Indoor Manahan tanpa sebarang pingat, jauh berbeza berbanding pencapaian edisi lalu yang menyaksikan kontinjen negara membawa pulang satu perak dan tiga gangsa.

“Sudah tentu saya mempunyai cita-cita yang lebih besar, namun jangkaan saya realistik berdasarkan tahap semasa kita dan juga cabaran yang sedang dihadapi. Saya tahu tahap lawan, saya tahu tahap kita, dan saya juga tahu usaha yang kami berikan setiap hari di sini.

Ya, mungkin saya sedikit kecewa dengan prestasi individu tertentu yang saya rasa boleh bermain lebih baik, tetapi secara keseluruhan, jangkaan saya telah dipenuhi. Saya tahu di mana kedudukan kita sekarang, saya faham dan saya terima sepenuhnya realiti tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga aspek utama perlu diperbaiki dengan segera iaitu kecergasan fizikal, disiplin taktikal dan ketahanan mental, selain memastikan peralihan pemain muda ke tahap senior berlaku secara sistematik.

Walaupun beberapa pemain remaja diberi peluang menjalani latihan bersama skuad utama, Jonassen menegaskan kejayaan tidak datang dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan kesabaran dan pelaburan berterusan.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE