SAO PAULO, 6 November – Walaupun ketinggalan 36 mata di belakang pendahulu kejuaraan Formula Satu, Lando Norris, Max Verstappen tetap menjadi pelumba yang perlu ditewaskan hujung minggu ini apabila beliau berusaha melengkapkan tiga kemenangan berturut-turut di Interlagos.
Juara dunia empat kali berusia 28 tahun itu telah menjuarai Grand Prix Sao Paulo sebanyak tiga kali bersama Red Bull iaitu pada 2019, 2023 dan 2024.
Tahun lalu, Verstappen muncul juara selepas bermula dari petak ke-17 dalam keadaan hujan lebat, manakala Norris yang cuba merapatkan jurang ketika itu hanya menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Kali ini, giliran Verstappen pula untuk memburu dua pelumba McLaren yang kini mendahului saingan kejuaraan.
Norris mendahului rakan sepasukannya, Oscar Piastri dengan satu mata selepas kemenangannya di Mexico, namun dengan empat hujung minggu perlumbaan berbaki, Verstappen tampak kembali berada pada rentak terbaiknya.
Tiga kemenangan dan enam podium berturut-turut telah menghidupkan semula peluangnya selepas pernah ketinggalan 104 mata pada akhir Ogos, dan seperti diakuinya sendiri, Brazil mempunyai makna istimewa buat dirinya.
“Ia tempat yang istimewa bagi saya. Bukan sahaja kerana perlumbaan dan detik hebat yang saya lalui di sini, tetapi juga kerana keluarga sebelah pasangan saya berasal dari Brazil.” kata Verstappen.
Pasangannya, Kelly Piquet merupakan anak kepada juara dunia tiga kali Nelson Piquet, dan mereka baru menyambut kelahiran anak perempuan mereka, Lily pada Mei lalu.
Verstappen yang kini berada bersama keluarga tersebut di Brazil berkata beliau akan memakai topi keledar khas bertemakan Brazil untuk perlumbaan minggu ini.
“Litar ini mempunyai banyak sejarah dan kenangan indah buat saya. Saya sentiasa seronok berlumba di trek ‘gaya lama’ seperti ini,” tambahnya.
Kemenangan di Mexico turut menyuntik semangat kepada Norris, yang pencapaian terbaiknya di Brazil ialah naib juara dua tahun lalu, manakala Piastri menamatkan perlumbaan di tempat kelapan tahun lalu, keputusan terbaiknya di Interlagos.
Sementara Red Bull terus menumpukan pembangunan kereta 2025, McLaren pula sudah mula memberi perhatian kepada peraturan baharu tahun depan, sesuatu yang memberi ruang kepada pasukan lain untuk mencuri kelebihan, sehinggalah Norris bangkit dengan kemenangan bergaya di Mexico.
“Saya fikir kedua-dua pelumba kami mempunyai sebab untuk yakin menjelang empat perlumbaan terakhir musim ini, dengan perlumbaan 'sprint' di Brazil dan Qatar,” kata ketua pasukan McLaren, Andrea Stella. -AFP