fb fb fb fb fb

Sukan SEA: Skuad ragbi 7s wanita bersedia

Penolong jurulatih skuad ragbi wanita 7 sebelah , Mohamad Nazhiim Shahruddin/RTM

PETALING JAYA, 6 November - Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita negara kini memasuki fasa terakhir persiapan menjelang Sukan SEA Thailand Disember ini.

Skuad itu kini memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan intensiti permainan.

Penolong jurulatih, Mohamad Nazhiim Shahruddin berkata Kejohanan Ragbi Asia 7s edisi kedua di Colombo, Sri Lanka yang berlangsung baru-baru ini telah menonjolkan kemampuan sebenar pasukan sekali gus mendedahkan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Kita ada penambahbaikan daripada segi cara permainan, tapi masih banyak aspek yang perlu diperbaiki. Sekarang kita mahu kekalkan intensiti yang sama dari mula sampai tamat perlawanan," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang Astaka di sini.

Beliau mengakui prestasi pasukan berada pada prestasi mengecewakan pada siri kedua kejohanan Ragbi Asia di Colombo, Sri Lanka baru-baru ini.

Pada kejohanan itu, pasukan negara sekadar berada di tempat kesembilan sekali gus gagal mencapai sasaran ditetapkan iaitu kedudukan enam terbaik.

Nazhiim turut mengakui kecederaan pemain utama, Dinah Syafiqah Sadali yang kini dalam proses pemulihan turut memberi kesan terhadap pasukan.

Mohd Nazhiim optimis pemain berkenaan sempat pulih dari kecederaan dialami dan mampu beraksi menjelang temasya sukan berkenaan

Sementara itu, kapten pasukan, Rozliana Mohd Ridwan berkata pasukan sedang menumpukan kepada kecergasan dan kekuatan fizikal sambil memperbaiki keserasian antara pemain lama dan baharu.

"Jurang tu dah semakin kurang. Kita sentiasa berkomunikasi dalam dan luar padang supaya boleh selaraskan permainan," katanya.

Rozliana yang bakal membuat penampilan kali ketiga di Sukan SEA berharap setiap pemain memberikan komitmen penuh berbaki empat minggu terakhir persiapan.

"Setiap individu ada kekuatan masing-masing, tapi kita kena gabungkan semua itu dan bawa semangat yang sama sampai hari kejohanan," katanya.

Skuad Bunga Raya dijangka berlepas ke Bangkok pada 11 Disember ini bagi menghadapi saingan Sukan SEA dengan sasaran mara ke perlawanan akhir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD