fb fb fb fb fb

Venus Williams tersingkir di pusingan pertama Terbuka AS

Aksi pemain tenis legenda Amerika Syarikat, Venus Williams menentang Karolina Muchova dari Republik Czech pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat/ Foto AFP

NEW YORK, 26 Ogos – Pemain legenda Amerika Syarikat, Venus Williams, tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS Open) selepas tewas kepada pilihan ke-11, Karolina Muchova dari Republik Czech, 3-6, 6-2, 1-6.

Williams, 45 tahun, kembali beraksi di Grand Slam selepas berehat panjang dan menyertai kejohanan itu menerusi tiket wild card.

Walaupun gagal mara, beliau menerima sokongan padu penonton di Stadium Arthur Ashe.

Turut mencatat keputusan mengejutkan, juara Terbuka Australia, Madison Keys, yang merupakan pilihan keenam, tewas kepada pemain Mexico, Renata Zarazua, 6-7, 7-6, 5-7.

Keys mengakui kegugupan menjejaskan prestasinya sehingga gagal mengawal permainan.

Sementara itu, pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz dari Sepanyol, memulakan kempen dengan kemenangan ke atas pemain tuan rumah, Reilly Opelka, dalam usaha memburu gelaran kedua selepas muncul juara edisi 2022. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN