TOKYO, 26 Ogos – Sukan tinju di Jepun kini berada pada saat genting dan berisiko terhenti sekiranya langkah keselamatan tidak dipertingkat, menurut Setiausaha Agung Suruhanjaya Tinju Jepun (JBC), Tsuyoshi Yasukochi.
Amaran itu dibuat susulan kematian dua petinju muda, Shigetoshi Kotari dan Hiromasa Urakawa, kedua-duanya berusia 28 tahun, yang meninggal dunia selepas menjalani pembedahan otak beberapa hari selepas bertarung di Korakuen Hall, Tokyo, pada 2 Ogos lalu.
“Kami berada di saat penentu. Jika langkah keselamatan tidak dipertingkat, sukan yang telah bertapak lebih 100 tahun ini mungkin tidak dapat diteruskan,” kata Yasukochi dalam temu bual bersama AFP.
Antara langkah baharu yang sedang dipertimbangkan ialah ujian air kencing untuk mengukur tahap dehidrasi dan peraturan lebih ketat terhadap penurunan berat badan mendadak yang boleh meningkatkan risiko pendarahan otak.
Tragedi terbaru ini menambah senarai insiden yang menggoncang dunia tinju Jepun. Pada 2023, petinju Kazuki Anaguchi meninggal dunia selepas bertarung di Tokyo, manakala Mei lalu, Ginjiro Shigeoka koma selepas menjalani pembedahan otak susulan pertarungan di Osaka.
Malah, minggu lalu, seorang petinju amatur dilaporkan masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan kecemasan akibat insiden ketika sesi sparring.
“Kematian atau kecederaan serius memberi kesan besar. Jika seseorang tidak merasai keperluan mendesak ini, mereka tidak layak terlibat dalam tinju,” tegas Yasukochi sambil menegaskan pihak berkuasa akan mengumumkan langkah konkrit pada September ini. -AFP