WASHINGTON, 21 Julai- Bekas pemain nombor satu dunia, Venus Williams kembali ke kejohanan profesional apabila beraksi di Terbuka Washington hari ini, selepas berehat panjang akibat masalah kesihatan.
Pemain berusia 45 tahun itu menerima 'wildcard' buat kali pertama ke kejohanan tersebut selepas menolak tawaran serupa pada tahun-tahun sebelumnya.
Williams berkata beliau kini berasa bersedia, terutamanya dengan gelanggang keras yang menjadi permukaan kegemarannya.
Venus, pemenang tujuh gelaran Grand Slam, menyatakan fokus utamanya bukan lagi kemenangan semata-mata, tetapi untuk menikmati permainan dan proses pemulihan selepas hampir setahun tidak beraksi.
Kali terakhir beliau menang perlawanan ialah di Terbuka Cincinnati pada Ogos 2023.
Beliau akan menentang pemain muda Amerika, Peyton Stearns dalam pusingan pertama kejohanan kategori WTA 500 itu.
Sepanjang tahun lalu, Venus menjalani pembedahan membuang fibroid, yang menghalangnya daripada bersaing di Terbuka AS dan kejohanan lain.
Beliau mengakui tempoh pemulihan itu mencabar dan menakutkan tetapi kini sudah bersedia untuk kembali.
Williams masih mengekalkan gaya permainan agresifnya serta akan bermain mengikut kekuatan asalnya, pukulan bertenaga dan penuh keyakinan walaupun sedar cabaran semakin sukar. -REUTERS