LONDON, 21 Julai- Bekas pemain tengah England, Paul Gascoigne dimasukkan ke hospital selepas ditemui dalam keadaan separuh sedar di kediamannya di Poole, England, lapor media Britain.
Gascoigne, 58, yang pernah beraksi untuk Newcastle United, Tottenham Hotspur dan Lazio, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.
Beliau dijangka akan berada di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan lanjut.
Karier cemerlang Gascoigne di atas padang sering dibayangi oleh kehidupan peribadi yang bergolak.
Sejak bersara daripada bola sepak pada tahun 2004, satu tempoh yang beliau gambarkan sebagai “merobek jiwanya”, Gascoigne berdepan pelbagai masalah kesihatan mental dan ketagihan.
Sepanjang dua dekad lalu, beliau telah menjalani beberapa rawatan berkaitan ketagihan alkohol dan dadah, paranoia, serta kemurungan, menjadikan kisah hidupnya antara yang paling menyayat hati dalam dunia sukan Britain.
Pihak keluarga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Namun, sumber terdekat memaklumkan bahawa keadaan Gascoigne kini terkawal dan beliau menerima rawatan sewajarnya. -REUTERS