BUKIT JALIL, 6 Julai- Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Valeree Siow semakin menampilkan keserasian selepas menyingkirkan gandingan ranking ke-12
dunia, Mark Lamsfuss dan Isabel Lohau untuk mara ke pusingan kedua Badminton Masters Malaysia 2022.
Pasangan negara menghuni ranking ke-150 dunia menumpaskan lawan menerusi aksi straight set 21-17 21-11 dalam tempoh 33 minit.
Bermula perlahan pada awal set pertama, Tang Jie dan Valeree Siow bagaimanapun kembali bangkit memperbaiki permainan dan menguasai set pertama 21-17.
Set kedua menjadi semakin mudah buat wakil negara itu yang tidak berdepan kesukaran menutup permainan dengan kemenangan 21-11.
"Saya sangat hargai pasangan saya hari ini. Masa saya buat kesalahan, dia masih konsisten untuk terus bagi motivasi pada saya," kata Chen Tang Jie kepada RTM.
Bagi Valeree Siow pula, dia tidak mementingkan rangking sebaliknya hanya mahu membanggakan negara.
"Saya tak banyak fikir tentang rangking atau yang lain. Saya masuk dalam gelanggang dan saya akan bagi yang terbaik dan aplikasikan ilmu yang saya belajar dan berlatih," tambah Valeree Siow.
Tang Jie dan Valeree Siow yang baru digandingkan musim ini bakal berdepan campuran Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran dalam pusingan kedua esok.
(FOTO BERNAMA)