LONDON, 14 Mei- Penyerang antarabangsa Nigeria, Taiwo Awoniyi dilaporkan berada dalam keadaan koma selepas menjalani fasa pertama pembedahan susulan kecederaan serius pada bahagian abdomen.
Menurut laporan media Britain, pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan ketika cuba menyambut hantaran lintang daripada Anthony Elanga pada minit ke-88 dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City di Stadium City Ground, Ahad lalu. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Insiden berlaku hanya lima minit selepas Awoniyi dimasukkan sebagai pemain gantian menggantikan Ibrahim Sangare. Pemain itu dilaporkan melanggar tiang gol dalam usahanya menjaringkan gol, dan terus menerima rawatan segera di atas padang sebelum kembali beraksi.
Bagaimanapun, Awoniyi dilihat mengalami kesakitan dan terpaksa meneruskan permainan dalam keadaan terhincut-hincut sehingga tamat perlawanan.
Nottingham Forest menerusi kenyataan awal pada Selasa memaklumkan pemain tersebut telah menjalani pembedahan dan kini sedang "pulih dengan baik", namun laporan BBC dan beberapa lagi agensi media British kemudiannya melaporkan bahawa Awoniyi kini ditidurkan.
Dalam perkembangan berkaitan, pemilik kelab Nottingham Forest, Evangelos Marinakis dilihat turun ke padang sejurus tamat perlawanan dan dilaporkan menegur pengurus pasukan, Nuno Espirito Santo, dipercayai berhubung keputusan tidak mengeluarkan Awoniyi selepas insiden tersebut.
Namun, Forest dalam kenyataan berasingan menafikan dakwaan berlaku sebarang konfrontasi antara Marinakis dan pengurus pasukan, menyifatkannya sebagai “berita palsu”.
Espirito Santo turut menjelaskan pemain tersebut tidak dikeluarkan disebabkan berlaku salah faham antara pasukan kejurulatihan dan perubatan.-REUTERS