fb fb fb fb fb

KFA rombak skuad futsal Kedah

Foto Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA)

ALOR SETAR, 14 Mei- Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) merombak skuad futsal negeri itu selepas mempamerkan prestasi mengecewakan pada pusingan pertama Kejohanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1, 2025.
 
Skuad Futsal Kedah sekadar menamatkan pusingan pertama di kedudukan ke tujuh liga dengan hanya mengumpul empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri serta tewas lima perlawanan.
 
Rentetan itu, KFA hari ini mengumumkan beberapa pemain termasuk pemain import dilepaskan selepas mencapai persetujuan bersama bagi memberi ruang kepada suntikan tenaga baharu dalam pasukan.
 
Antara pemain yang dilepaskan termasuk pemain import iaitu Cesar Shammir Olmedo Ayala dan Yazid Kamaruzuan, serta Luqman Yaakob Tan, dan Mohd Shamsuri Saleh.
 
Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai KFA, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, keputusan dan kedudukan pasukan selepas tamat pusingan pertama adalah di luar jangkaan serta tidak mencerminkan potensi sebenar skuad berkenaan.
 
Justeru, KFA mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh pasukan menjelang pusingan kedua yang akan bermula pada 22 Mei ini.
 
"Beberapa pemain baharu termasuk seorang pemain import berprofil tinggi akan menyertai skuad dalam masa terdekat bagi memperkukuh cabaran Kedah dalam baki saingan musim ini.
 
"Langkah tersebut penting dalam memastikan skuad futsal Kedah tampil lebih kompetitif dan berdaya saing pada pusingan kedua nanti," kata Datuk Mohd Salleh Saidin.
 
Pada masa sama, beliau mengharapkan doa, sokongan dan kepercayaan berterusan daripada seluruh penyokong Hijau Kuning.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI