KUALA LUMPUR, 14 Mei- Skuad Sepak Takraw Kebangsaan terus mempamerkan aksi cemerlang apabila sekali lagi meraih kemenangan dengan menewaskan pasukan Filipina 2-0 pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Dalam aksi terakhir Kumpulan D, skuad regu negara dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) untuk set pertama.
Pasukan Filipina memberikan saingan sengit kepada Malaysia sebelum skuad negara menamatkan set pertama dengan kemenangan 15-9.
Masuk ke set kedua, pertukaran pemain dilakukan pada penghujung set apabila Syahir digantikan oleh Muhammad Haziq Hairul Nizam selaku tekong, manakala Azlan Alias digantikan oleh Khairul Aman Mohd Rosdi selaku perejam, sebelum skuad negara menamatkannya dengan kemenangan mudah 15-6 ke atas Filipina.
Dengan kemenangan tersebut, Malaysia mengungguli saingan peringkat Kumpulan D setelah meraih enam mata penuh hasil tiga kemenangan berturut-turut, termasuk kejayaan menewaskan Singapura dan Nepal.
Sementara itu, ketua pasukan regu negara, Farhan Adam berkata, keyakinan pasukannya semakin meningkat dalam setiap perlawanan, namun aspek persefahaman antara pemain masih perlu dipertingkatkan.
"Alhamdulillah, keputusan hari ini berpihak kepada pasukan Malaysia. Namun, bagi saya masih banyak yang perlu diperbaiki, termasuk prestasi diri dan juga sebagai satu pasukan.
"Antara yang paling ketara ialah dari segi 'setting' dan keyakinan kami. Tetapi apa yang boleh saya lihat, keyakinan itu semakin bertambah dari satu perlawanan ke satu perlawanan", katanya.
Skuad regu negara akan menentang Brunei dalam saingan suku akhir malam ini.