BANGKOK, 14 Mei- Beregu wanita utama badminton negara, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand 2025 selepas menewaskan pasangan India, Rashmi Ganesh-Sania Sikkandar hari ini.
Pasangan nombor lima dunia itu hanya memerlukan 24 minit untuk mencatatkan kemenangan straight set, 21-11, 21-5 dalam aksi di Stadium Nimibutr, di sini.
Thinaah berkata, mereka sangat teruja kembali ke Thailand dan tidak menetapkan sebarang sasaran khusus bagi mengelakkan tekanan.
“Dalam aksi sulung ini, kami hanya mahu memberikan yang terbaik untuk setiap mata. Ia adalah permulaan yang baik dan kami berharap dapat mengekalkan momentum dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada Bernama di sini.
Sementara itu Pearly berkata keadaan venue adalah baik, dengan angin yang tidak terlalu kuat dan mudah dikawal.
“Kami akan terus mempamerkan aksi yang terbaik dan berharap dapat mengekalkan momentum sepanjang kejohanan,” katanya.
Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang sebelum ini menewaskan pasangan Thailand, Tidapron Kleebyeesun dan Nattamon Laisun dengan keputusan 21-11, 21-14.
Pasangan beregu wanita negara yang lain, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing juga melangkah ke pusingan seterusnya selepas mengalahkan pasangan Taiwan, Chen Su Yu-Hsieh Yi En, 21-15, 18-21, 21-15 dalam tempoh 48 minit.
Pei Kee-Mei Xing akan bertemu pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose yang menumpaskan rakan senegara, Apriyani Rahayu-Febi Setianingrum 24-22, 21-18.
Namun, langkah pasangan beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting tersekat selepas tewas kepada pasangan pilihan ketiga dari India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 15-21, 13-21 dalam masa 39 minit.
Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin berjaya menewaskan Wang Zheng Xing dari China, 21-12, 19-21, 21-18 dalam 59 minit.
Aidil bakal berdepan laluan getir apabila bertemu pemain pilihan kelapan kejohanan, Lu Guang Zu dari China yang sebelum ini menyingkirkan Panitchaphon Teeraratsakul dari Thailand, 21-15, 14-21, 21-19.
Dalam acara beregu campuran, kesemua pasangan Malaysia terkandas pada pusingan pertama dengan pasangan pilihan ketujuh, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas kepada pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Omnicha Jongsathapornparn, 21-15, 18-21, 17-21 dalam aksi sengit selama satu jam.
Pasangan beregu campuran nombor 56 dunia, Yap Roy King-Valeree Siow juga gagal melepasi pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Un, 18-21, 17-21 dalam 33 minit.
Dalam acara beregu lelaki, Low Han Yee-Ng Eng Cheong gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pilihan utama, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, 11-21, 17-21 dalam 32 minit.
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Kai Wun Tee, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King akan beraksi petang ini.
Turut turun ke gelanggang petang ini pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, Justin Hoh dan satu-satunya wakil wanita negara dalam acara perseorangan, Goh Jin Wei. - Bernama