SEREMBAN, 6 Julai- Penampilan sulung atlet judo negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 Ogos depan mampu menyumbang pingat buat negara.
Menurut Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Amir Daniel Abdul Majeeda yang bakal beraksi dalam kategori bawah 73 kilogram dan Kamini Sri Segaran yang bertanding menerusi kategori bawah 57 kilogram mampu melakar kejutan selepas mendapat pingat gangsa dalam temasya Sukan SEA Hanoi 2021.
"Bukan suatu perkara yang mudah kerana kita tahu banyak negara yang mempunyai atlet judo yang sangat hebat di peringkat dunia tapi saya harap mereka boleh buat kejutan kerana kedua-dua atlet pernah merangkul pingat gangsa di temasya Suka Sea," kata Datuk Shahrul ketika membuat lawatan ke pusat latihan atlet judo di Nilai, Negeri Sembilan.
(Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya menjelaskan sasaran tersebut ketika ditemui media di pusat latihan judo di Nilai)
Sementara itu, Amir Daniel dan Kamini mengakui sangat teruja untuk beraksi pada Sukan Komanwel 2022 selepas kali terakhir judo dipertandingkan pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.
"Bagi saya, sasaran ke suku akhir kerana selepas pandemik, tidak ada banyak pertandingan di luar negara. Pertandingan pertama juga adalah sukan SEA dan kemenangan pingat gangsa pada kejohanan tersebut memberi inspirasi untuk saya terus ke hadapan dan menyasarkan ke peringkat suku akhir dalam Komanwel," kata Amir Daniel ketika ditemu bual RTM.
(Atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeeda ditemu bual RTM)
"Saya juga menyasarkan ke peringkat suku akhir kerana selepas pandemik kami kurang didedahkan dengan mana-mana pertandingan," tambah Kamini yang turut ditemu bual pemberita RTM di pusat latihan atlet judo di Nilai.