VALENCIA, 15 Jun- Valencia memperbaharui kontrak jurulatih Ruben Baraja sehingga Jun 2025 pada Khamis selepas kejayaannya menyelamatkan kelab itu tersingkir daripada La Liga musim ini.
Baraja dilantik sebagai jurulatih pada Februari 2023, ketika Valencia berada di tangga ke-18 liga namun mencatatkan keputusan agak positif sehingga tamat musim apabila naik ke tangga ke-16, terlepas dari zon penyingkiran.
“Kemahiran kepimpinan dan keperibadiannya yang hebat adalah kunci untuk mengubah dinamik pemain pada masa kelab merekodkan prestasi buruk," kata Valencia dalam satu kenyataan.
Baraja, 47, bermain untuk Valencia 364 kali antara 2000 dan 2010 dan memperoleh 43 penampilan untuk Sepanyol.
Dia pernah menjulang piala La Liga dua kali ketika bersama skuad Los Che sebagai pemain.
Kerjaya kejurulatihannya meningkat dengan tempoh singkat di Elche, Rayo Vallecano, Sporting Gijon, Tenerife dan terbaru Zaragoza pada 2020, berlangsung di bawah tiga bulan.
Kali terakhir Valencia memenangi La Liga pada 2004, sedekad sebelum ahli perniagaan, Peter Lim mengambil alih kelab itu, tokoh yang sering dibantah peminat.- AFP
(FOTO AFP)