MANCHESTER, 18 Jun-Bekas pelari pecut Olimpik Jamaica dan pemegang 15 rekod dunia, Usain Bolt telah dinobatkan sebagai Ikon Guinness World Records atas pencapaiannya dalam bidang olahraga selain menjadi inspirasi global, sempena sambutan ulang tahun ke-70 buku rekod tersebut tahun ini.
“Menjadi seorang ikon adalah sesuatu yang saya perjuangkan. Jadi kini, apabila saya menjadi sebahagian daripada senarai hebat ini, saya gembira kerana ia membuktikan usaha yang telah saya curahkan,” ujar Bolt ketika lawatannya ke Manchester, April lalu.
Ketua Editor Guinness World Records, Graig Glenday yang menyampaikan anugerah Ikon kepada Bolt di Hotel Edwardian, Manchester berkata Usain Bolt melambangkan maksud sebenar menjadi Ikon Guinness World Records. Beliau adalah manusia terpantas di daratan dan tiada siapa yang pernah berlari sepantas beliau dalam sejarah yang direkodkan.
Beliau telah mencipta pelbagai rekod sepanjang karier dan memberi impak besar terhadap dunia olahraga.”
Menurut Guinness World Records, gelaran Ikon diberikan kepada individu terpilih yang bukan sahaja mencipta rekod, tetapi turut menjadi simbol budaya yang memberi inspirasi kepada jutaan orang melalui pencapaian luar biasa dan legasi yang berkekalan merangkumi bidang sains, teknologi, sukan, kreativiti, dan aktivisme.
Antara rekod Bolt termasuk larian 100 meter terpantas pada 9.58 saat dan 200 meter terpantas pada 19.19 saat, kedua-duanya dicatatkan semasa Kejohanan Dunia IAAF 2009 di Berlin.
Beliau juga memegang rekod "pelari pecut Olimpik pertama yang memenangi emas dalam acara 100m dan 200m sebanyak tiga kali berturut-turut" iaitu pada tahun 2008, 2012 dan 2016.
Antara penerima gelaran Ikon terdahulu termasuk bekas pemandu kereta lumba dan triatlet bertongkat ganda Billy Monger, penjelajah Kutub Preet Chandi, bintang global Taylor Swift, serta wanita tertinggi dan terpendek di dunia, Rumeysa Gelgi dan Jyoti Amge.
Buku Guinness World Records pertama kali diterbitkan di London pada 27 Ogos 1955.
Sempena memperingati ulang tahun ke-70, kempen "GWR70: Be Part of It" digerakkan bagi menggalakkan orang ramai dari seluruh dunia, tanpa mengira usia, untuk mencipta rekod baharu.-REUTERS.