fb fb fb fb fb

TFC perkuat pasukan dengan tujuh pemain baharu

Foto Fail

KUALA NERUS, 17 Jun- Tujuh muka baharu bakal memperkuat cabaran pasukan Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Super musim 2025/2026.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Syahrizan Mohd Zain dalam kenyataan berkata ia membabitkan lima pemain import dan dua tempatan.

Tambahnya, persiapan akhir bagi perpindahan jendela pertama pemain sedang dijalankan bagi memastikan semua berjalan mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan.

"TFC akan membawa masuk dua pemain tempatan dan lima import bagi jendela perpindahan pertama 9 Jun hingga 31 Ogos 2025. Sebelum ini, kita telah menyambung kontrak pemain import dari Uzbekistan Nurillo Tukhtasinov.

Proses melengkapkan dokumen serta urusan logistik pemain import ke Malaysia sedang dilakukan disusuli ujian kecergasan dan perubatan sebelum memeterai kontrak profesional," kata kenyataan itu.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata dua pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid kekal bersama skuad Penyu bagi menghadapi saingan musim baharu.

Musim 2025/2026 menyaksikan sembilan nama digugurkan daripada pasukan TFC iaitu Muhammad Safawi Rasid, Mohd Nor Hakim Hassan, Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Ivan Mamut, Muhammad Syafiq Ismail, Muhammad Syaiful Haqim Shahrul, Nelson Bonilla dan Argzim Redzovic.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM