KUALA LUMPUR, 17 Jun- Majlis Sukan Negara (MSN) menggesa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempercepat pelantikan Ketua Kontinjen (CDM), Timbalan CDM serta pengurus pasukan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2025 yang dijadual berlangsung di Thailand, Disember ini.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menjelaskan pelantikan awal penting bagi memastikan perancangan dan penyelarasan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, khususnya bersama persatuan sukan kebangsaan dan pihak berkepentingan lain.
Menurutnya, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan dua minggu lalu melibatkan MOM, Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN sebagai langkah awal ke arah persediaan kontinjen negara ke temasya dwitahunan itu.
"Mesyuarat pelaksanaan telah pun kita buat dan kita juga telah meminta pihak MOM untuk segera melantik CDM, Timbalan CDM serta pengurus pasukan.
Ini penting untuk kita buat penyelarasan di peringkat persatuan sukan kebangsaan," kata Jefri kepada pemberita, hari ini.
Dalam masa sama, MSN turut membentangkan status terkini program latihan atlet melibatkan hampir 43 jenis sukan serta keperluan perkhidmatan sokongan kontinjen Malaysia di Thailand nanti.
Tambah Jefri, pihaknya kini sedang menilai senarai panjang atlet berpotensi mewakili negara, dengan jangkaan seramai 600 hingga 700 atlet bakal beraksi dalam 48 daripada 50 sukan yang dipertandingkan.
Jelasnya, pemilihan atlet tidak hanya tertumpu kepada mereka dalam Program Podium dan Pelapis, sebaliknya turut melibatkan atlet luar program yang menunjukkan prestasi konsisten di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.