BANDA HILIR, 17 Jun- Sebanyak RM240,812.70 peruntukan kerajaan disalurkan bagi pembiayaan skim bantuan kepada 508 ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), setakat Mei ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata skim bantuan yang disediakan untuk ahli yayasan berkenaan merangkumi dana khairat kematian, rawatan perubatan hospital, rawatan perubatan penyakit kritikal, bantuan alat tiruan atau sokongan, bencana alam, bantuan kewangan ahli dan bantuan melanjutkan pelajaran.
Tambahnya, KBS telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta menerusi YAKEB tahun ini, bagi memastikan kebajikan ahlinya terbela.
""Jadi, setiap peruntukan atau dana yang diterima oleh YAKEB memang boleh dimanfaatkan secara langsung untuk disalurkan terus kepada atlet yang bernaung di bawahnya.
Ini merupakan peruntukan tahunan yang diusahakan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi belanjawan setiap tahun. Dana ini memang merupakan komitmen tahunan KBS untuk memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga," kata Adam Adli kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program 'Visit & Treat' Skuad YAKEB Prihatin di rumah bekas pemain bola sepak negara, mendiang Robert Choe Kim Chwee yang turut dihadiri Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Setakat ini, YAKEB mempunyai 3,200 orang ahli dan sebanyak 11 skim bantuan disediakan di bawah yayasan itu.