KUALA LUMPUR, 17 Jun- Landskap pembangunan sukan negara kini melangkah ke fasa lebih tersusun dan menyeluruh menerusi pelaksanaan 20 Sukan Teras Prestasi Tinggi yang diselaraskan dari peringkat sekolah hingga ke skuad elit kebangsaan.
Langkah strategik itu digerakkan bersama tiga kementerian utama iaitu Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA).
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin memaklumkan pendekatan tersebut bertujuan menyelaras semua program latihan berdasarkan senarai sukan teras yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan pada April lalu.
"Pihak KPT dan KPM akan melaksanakan 20 sukan teras ini mengikut kelulusan dan keutamaan di peringkat masing-masing. Maksudnya, setiap agensi akan melaksanakannya berdasarkan struktur dan perancangan mereka sendiri.
Keduanya, dari segi program latihan pula KPM dan KPT ada program tersendiri yang akan dilaksanakan mengikut senarai sukan yang telah ditetapkan," kata Jefri kepada pemberita, hari ini.
Beliau menyatakan perkara berkenaan pada sidang media di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini.
Antara sukan baharu yang dimasukkan ke dalam senarai teras ialah e-Sukan dan ping pong, menyertai sukan utama sedia ada seperti badminton, hoki, renang dan olahraga.
Inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada perkongsian sumber kewangan antara agensi kerajaan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap dana MSN semata-mata.
Senarai sukan teras bagi tempoh 2025 hingga 2028 meliputi akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, e-Sukan, gimnastik, hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, ping pong, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu.