fb fb fb fb fb

Mutu pengadilan, Aaron Chia saran BWF guna pakai teknologi VAR

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia mencadangkan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) diperkenal dalam sukan badminton.

Kenyataan itu disuarakan susulan isu keputusan pengadil servis yang tidak konsisten dalam setiap perlawanan.

Juara dunia 2022 itu berpandangan, teknologi VAR yang diguna pakai dalam bola sepak mampu menilai keputusan kritikal ketika servis, situasi yang kerap kali menjadi punca ketidakpuasan hati pemain.

"Saya rasa mereka (BWF) sepatutnya mempertimbang penggunaan teknologi VAR seperti dalam bola sepak. Khususnya dalam aspek servis, perlu ada satu mekanisme lain untuk menilai keputusan, bukan hanya bergantung kepada pandangan pengadil servis.

Sudut pandangan mereka mungkin tidak tepat. Kadang-kadang, kami sendiri sebagai pemain pun sukar untuk pastikan sama ada servis itu sah atau tidak," kata Aaron kepada pemberita, hari ini.

Beliau menyatakan perkara itu selepas sesi latihan yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini.

Tambah beliau, ketinggian berbeza antara pengadil servis turut mempengaruhi penilaian terhadap paras 1.15 meter yang dibenarkan.

Aaron mengulas lanjut perkara tersebut rentetan servisnya yang dipertikai pengadil ketika aksi akhir menentang gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di Terbuka Singapura, 1 Jun lalu.

Walaupun berjaya merangkul kejuaraan, beliau menegaskan bahawa mutu pengadilan perlu ditambah baik kerana turut menjejaskan kelancaran rentak permainan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM