PUTRAJAYA, 17 Jun- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JKPS) bukan sekadar saluran aduan, sebaliknya berperanan sebagai mekanisme perundangan dalaman untuk menyelesaikan pertikaian secara berstruktur dalam ekosistem sukan negara.
Tegas beliau, semua pihak termasuk atlet, jurulatih dan pentadbir sukan perlu memahami bahawa penyelesaian pertikaian perlu bermula dengan proses dalaman mengikut perlembagaan persatuan sebelum dirujuk kepada JKPS atau mana-mana saluran perundangan luar.
"Ramai atlet berasa takut untuk membawa kes mereka kerana khuatir akan dikenakan tindakan oleh persatuan sukan. Oleh itu, segala usaha pembinaan kapasiti dan latihan yang dijalankan oleh JKPS ini akan memberi input kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperbaiki semua SOP dan proses sedia ada," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.
Beliau menyatakan perkara berkenaan pada sidang media pengumuman pelantikan anggota baharu JKPS di Menara KBS, di sini.
Tambah Hannah, JKPS juga akan menyalurkan maklumat kepada KBS bagi memperkemas dasar berkaitan kebajikan atlet termasuk isu biasiswa, permohonan cuti serta semakan kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
Dalam pada itu, Pengerusi JKPS, Datuk Low Beng Choo menekankan bahawa tindakan membawa pertikaian terus ke mahkamah tanpa melalui proses dalaman akan menyebabkan JKPS tidak mempunyai bidang kuasa terhadap kes berkenaan.
"Perkara itu masih dalam pertimbangan mahkamah dan kami tidak boleh memberikan sebarang komen kerana ia adalah subjudis.
Tiada sebarang ruang untuk kami mengulas. Individu yang terlibat tahu apa yang mereka lakukan dan mereka sendiri memilih untuk mengambil jalan itu. Maka kita perlu menghormati sistem kehakiman yang sedang berjalan," kata Datuk Low kepada pemberita, hari ini.
Beliau mendedahkan bahawa sepanjang dua tahun lalu, JKPS menerima 75 aduan, namun hanya 14 disemak secara lanjut dan dua dibawa ke perbicaraan rasmi.
Jelasnya, kecekapan mengurus pertikaian sukan masih rendah di peringkat akar umbi apabila ramai pemegang jawatan tidak benar-benar memahami tanggungjawab mengikut peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.