PENNSYLVANIA, 17 Jun- Flamengo memulakan kempen Piala Dunia Kelab dengan keputusan positif selepas menewaskan kelab dari Tunisia, Esperance de Tunis 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan D, awal pagi tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Lincoln Financial Field menyaksikan gol kemenangan Flamengo disumbangkan oleh Giorgian de Arrascaeta dan Luiz Araujo.
Flamengo mempamerkan aksi dominan di atas padang dengan mencatatkan penguasaan bola mencecah 80 peratus.
Jaringan pembukaan tercipta hasil lorongan tepat Araujo kepada Arrascaeta seawal minit ke-17.
Esperance bergelut untuk mendapatkan rentak permainan namun berjaya mencipta beberapa peluang selepas separuh masa kedua.
Belaili hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi rembatan lencong yang sedikit tersasar, sebelum memaksa penjaga gol Flamengo, Augustin Rossi melakukan satu aksi menyelamat penting lima minit kemudian.
Bagaimanapun, Flamengo kembali mengawal perlawanan dan menambah jaringan kedua pada minit ke-70 hasil sentuhan Araujo yang menyudahkan hantaran tepat bekas pemain tengah Chelsea dan Arsenal, Jorginho.
Kemenangan tersebut meletakkan Flamengo terikat mata bersama Chelsea di tangga teratas Kumpulan D, selepas kelab London itu turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas LAFC.
Pertembungan antara Flamengo dan Chelsea dijadualkan berlangsung Jumaat ini (20 Jun), dijangka menjadi penentu juara kumpulan.- REUTERS